PH ‘Kaki Claim’, Projek BN Dikatanya Mereka Buat – Zaidi

JASIN, 19 Nov – Pakatan Harapan (PH) seringkali memanipulasi rakyat dengan menyatakan beberapa pembangunan di daerah Jasin dilakukan oleh mereka, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Jelas beliau, dakwaan yang dikatakan itu tidak benar kerana ia telah dilaksanakan pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini banyak perkara-perkara yang dibawa oleh pembangkang yang pada hemat saya membawa isu-isu yang tidak benar kononnya mereka yang buat… contoh calon PH sebut menyelesaikan soal lampu isyarat, masjid Kampung Tembakau.

“Ini perkara yang semua orang tahu permulaan kepada projek-projek itu adalah sewaktu kerajaan BN yang mana pada ketika 22 bulan itu mereka sebenarnya hanya menyelesaikan perkara yang sudah selesai dari segi dokumen. Kerana soal wangnya dan prosedurnya telah pun kita susun cuma proses keluarkan geran, hak milik itu sahaja yang dilakukan oleh PH.

“Itupun setelah dana itu dikumpul oleh pengerusi lembaga masjid dan sebahagiannya disumbang oleh Majlis Agama Islam Melaka,” ujarnya yang juga penyandang bagi kerusi DUN Serkam.

Zaidi bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau sudah terbiasa dengan helah PH malah menggunakan pelbagai medium untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan hal sebenar.

“Saya harap dan tegaskan di sini bahawa pengundi jangan tertipu kerana 22 bulan dahulu macam-macam perkara yang telah ditipu oleh mereka ini.

“Saya sudah biasa sebab sudah masuk tiga penggal jadi saya minta kalau hendak berhujah biar menggunakan fakta yang betul kerana rakyat menilai setiap kebolehan parti itu,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.