Kestabilan Demi Kemakmuran Jadi Sebutan Di Melaka

TANGGA BATU, 19 Nov – Kestabilan Demi Kemakmuran yang menjadi cogan kata kepada Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini terus menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan ahli politik mahu pun jentera parti serta calon BN, malah menjadi sebutan kepada kepada penduduk di negeri berkenaan.

Secara realiti dan sekali pandang memang diakui kestabilan adalah ‘ibu’ atau kunci kepada segala-galanya dan hakikat tersebut diakui oleh masyarakat setempat yang melihat sesebuah kerajaan negeri perlukan kestabilan demi kepentingan rakyat.

Hj Abdul Malik Mohd Ismail, daripada Kg Tampoi, Krubong, di sini berpandangan cakaplah apa sahaja sekalipun yang penting dan yang utama adalah kestabilan.

“Kita nakkan kestabilan negeri. Kita tidak mahu calon-calon yang dulu-dulu…pentingkan diri lompat sana, lompat sini. Negara dan negeri kita jadi huru-hara. Kita harap calon-calon yang menang selepas ini kekal. Mula sampai akhir…kita pengudi dah bagi sokongan kepada mereka tetiba mereka melompat. Mereka semua senang-lenang. Kita yang di bawah jadi mangsa.

“Kita rasa serik dah. Kita harap kerajaan yang ditubuhkan selepas ini biarlah yang benar-benar stabil. Bagi saya sebuah kerajaan yang paling stabil adalah kerajaan BN,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi kestabilan sesebuah negeri membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan teratur khususnya dalam soal ekonomi.

“Apabila negara atau negeri itu aman rakyat senang cari makan dan tidak ada masalah. Percampuran kita dengan semua bangsa pun bagus, harmoni dan muhibah. Tidak ada masalah.

“PH (Pakatan Harapan) 22 bulan habis dikacau. Kita merasa sedih. Apabila jumpa kerajaan baru 22 bulan ibarat kerajaan ketinggalan ‘dek’ ibu.Tidak tahu ke mana haluan. Paling terbaik BN,” ujarnya.

Sementara itu Borhan Abdul turut sependapat bahawa rakyat perlukan kerajaan yang stabil dan tidak ada masalah kerana yang akan menanggung nanti adalah rakyat.

“Jadi yang terbaik untuk PRN Melaka nanti adalah sebuah parti yang stabil dan calon-calonya pula yang terbaik. Kita tidak mahulah nanti lompat sana dan lompat sini akhirnya rakyat jadi mangsa.

“Justeru Kestabilan demi kemakmuran yang dicanang-canang ini adalah satu slogan yang pada saya cukup baguslah. Harap benar-benar membawa kestabilan,” tambahnya.

Manakala Elisa, 31 daripada Krubong turut melahirkan perasaan yang sama iaitu mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar peka dan prihatin terhadap rakyat.

“Bagi kita orang muda kita mahu wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat…parti yang menjaga rakyatnya. Sebab kita dah pilih mereka yang terbaik. Begitulah yang kita sama-sama harapkan pada Sabtu ini,” ujarnya.

Ujarnya lagi beliau telah ada pilihan parti mana yang akan diundi Sabtu nanti.

“Pilihan parti dah ada…Cuma tunggulah Sabtu nanti saya akan buat pilihan. Yang pasti sebuah parti yang boleh membela nasib rakyat dan yang ada rekod baguslah…calonya juga mestilah diyakini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit