Sampaikan Aspirasi Kepada Rakyat Duyong Fokus Helmy

KOTA MELAKA, 18 Nov – Hari-hari terakhir kempen digunakan sebaik mungkin oleh calon Barisan Nasional (BN), Mohd Noor Helmy Abdul Halem untuk menyampaikan aspirasi beliau kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Katanya, beliau ikhlas serta komited membantu rakyat bukan hanya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) malah gerak kerja prihatin rakyat ini telah dilaksanakan awal lagi.

“Saya cuba berjumpa semaksimum yang boleh sampaikan aspirasi yang ingin dibawa bahawa janji yang ingin kami kotakan kemudian hari, kita akan buat apa sahaja manifesto BN ini sampai rakyat.

“Kita jumpa ini sudah jadi rutin bukan hanya disebabkan pilihan raya sahaja tapi perkara yang jadi kebiasaan tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui mengadakan pertemuan singkat bersama penghantar makanan di Petronas, AMJ Semabok, di sini.

Katanya, inisiatif perjumpaan tersebut bagi mengeratkan silaturahim atas dasar penghargaan kerana mereka ini merupakan barisan hadapan yang bertugas ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalam Pergerakan (PKP).

“Di samping itu kita dibantu oleh kumpulan food riders untuk buat promosi BN yang mana kita ada hubungan yang agak baik dengan rider-rider ini

“Masa PKP yang lepas kita saling bantu-membantu mereka dari segi makanan dan mereka juga membantu dari segi agihan, jadi hari ini atas dasar mungkin membantu mereka bersama-sama calon-calon dari BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit