PH Tidak Peduli Kota Laksamana, Pembangunan Terbiar – Benjamin

KOTA MELAKA, 18 Nov – Pembangunan di Kota Laksamana terbiar sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Melaka, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut, Benjamin Low Ching Hong.

Katanya, meskipun Kota Laksamana merupakan kawasan pelancongan, PH tidak melaksanakan langkah proaktif bagi merancakkan industri tersebut.

“Pembangunan di Kota Laksamana tidak berjalan, malah terbiar selepas 2018.

“Sekiranya negeri terus ditadbir PH saya rasa tempat ini yang dahulu adalah kawasan komersial, maka lama kelamaan akan menjadi kawasan yang tidak membangun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata manifesto BN yang diumumkan adalah suatu pendekatan terbaik malah membuktikan parti ini sentiasa komited membantu rakyat.

“Manifesto BN sangat baik menjaga rakyat yang mementingkan kestabilan. Ini kerana keadaan politik sekarang adalah tidak stabil dan masalah terlalu banyak dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang suka lompat sana-sini.

“Manifesto ini juga adalah berdasarkan pengalaman BN yang telah menjadi kerajaan lebih 60 tahun. Ia juga akan berperanan menaikkan ekonomi negeri ini.

“Saya harap rakyat bijak memilih parti yang komited menguruskan Melaka, BN adalah terbaik berbanding yang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit