Jangan Sia-Siakan Hak Mengundi, Pastikan Kerajaan Dipilih Stabil

MELAKA, 18 Nov – Terdapat ‘cakap-cakap’ yang mendakwa mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang akan bertindak memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti kerana tidak bersetuju PRN diadakan ketika Melaka baru sahaja ‘bernafas’ selepas beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun umum faham, bahawa hak mengundi tidak seharusnya disia-siakan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Melaka merekodkan peratusan mengundi yang tinggi iaitu sekitar 88 peratus dan bagi PRN ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan pengundi sekitar 70 peratus.

Sasaran SPR itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya ramai pengundi tidak pergi mengundi, memboikot atau bagi yang tinggal di luar dari Melaka tidak pulang, begitu juga sasaran kerusi untuk menang bagi parti-parti yang bertanding.

Bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi, Jabatan Penerangan (Japen) Melaka mengambil inisiatif meningkatkan program hebahan bergerak ‘Info On Wheels’ (IOW) di serata negeri, manakala pemimpin politik serta calon, pula memilih menghebahkannya menerusi akaun media sosial masing-masing sama ada dalam bentuk poster dan ucapan video pendek.

Seorang pekerja swasta, Tay Soo Keen, 46, berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan memboikot PRN Melaka dan menegaskan bahawa undi adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan negara dan juga negeri.

“Kita perlu pilih kerajaan yang betul-betul boleh berkhidmat untuk rakyat dan masalah sekarang ada juga ahli keluarga dan kawan-kawan yang membuat keputusan untuk tidak balik mengundi sebab kecewa dengan situasi politik negara.

“Tetapi saya terus pujuk mereka untuk balik mengundi sebab undi kali ini akan tentukan nasib kita untuk masa lima tahun akan datang,” kata pengundi di DUN Kota Laksamana kepada Bernama.

Pandangan sama disuarakan suri rumah Mahani Jamaludin, 64, yang akhirnya memutuskan untuk keluar mengundi meskipun pada awalnya merasa kecewa dengan pergolakan politik dan mengambil keputusan tidak mengundi.

“Yang penting tunaikan undi…siapa menang siapa kalah terpulang… untuk menangkan parti pilihan masing-masing, semua rakyat kena mengundi dan untuk orang politik, saya harap jika beri mandat nanti kena bekerjalah kuat, jangan lompat-lompat parti lagi, rakyat muak dan hilang kepercayaan,” kata beliau yang merupakan pengundi di DUN Bukit Katil.

Penjawat awam, Ismahani Ismail, 35, berkata golongan orang muda sepertinya tidak seharusnya mengasingkan diri dari terlibat dengan proses demokrasi negara.

“Ambil peluang mengundi ini untuk memilih parti mana yang mereka rasa dapat bantu memberi kemakmuran dan kesejahteraan pada rakyat,” katanya yang mengundi di DUN Kelebang.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata undi penting kerana ia akan menentukan pemimpin dan kerajaan yang bakal dibentuk selain mencerminkan mandat rakyat kepada pemimpin dan kerajaan.

“Tanpa undi yang juga mandat rakyat, pemimpin dan kerajaan tidak mendapat legitimasi politik. Banyak faktor yang mendorong pengundi keluar mengundi dan antara adalah parti politik, calon dan isu. Undi sebagai hak seorang rakyat Malaysia yang boleh menentukan masa depan negara. Undilah untuk masa depan dan kestabilan politik di Melaka,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Melaka mempunyai 495,195 pengundi berdaftar yang diberikan hak untuk memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menerusi peti undi, pada hari pengundian Sabtu ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit