Bajet 2022 Johor Bersifat Holistik, Kata Norshida

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2022 oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sememangnya menepati pelbagai sudut dan peringkat masyarakat negeri Johor khususnya untuk bangkit daripada kesan impak tinggi pandemik COVID-19.

Ketua Penerangan Wanita UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata dengan slogan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ memperlihatkan Kerajaan Johor terus komited secara holistik dengan pelbagai kaedah dan strategi bagi membantu rakyat yang terkesan dan dijangka komitmen kerajaan negeri akan terus melebarkan sayap pakej rangsangan kepada golongan sasaran yang memerlukan.

“Wanita UMNO juga amat bersyukur kerana melalui insiatif-insiatif kerajaan dalam memperkasakan bantuan dan antaranya berfokus kepada ibu-ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah melalui ‘Centre of Suri Johor’ yang akan berfungsi sebagai platform membantu memasarkan produk mereka dengan lebih luas dengan memperuntukkan RM1 juta dan dijangka akan memanfaatkan 700 usahawan wanita.

“Selain itu sebanyak tiga Program diketengahkan iaitu Women Income Generating Skills Projects (WINGS) 2021, Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) 2021 dan Kursus Inspirasi Usahwan Berfokus (KIUM) akan memfokuskan kepada perkembangan kejayaan bagi wanita-wanita johor dan ini dijangka akan memberikan manfaat yang besar kepada golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Norshida seterusnya menambah pihaknya juga turut menghargai pengiktirafan Kerajaan Johor kepada Dr. Masliza Mahmod, anak kelahiran Batu Pahat, yang menjadi wanita pertama Johor yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya perubatan kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom.

Tambahnya lagi melalui kejayaan ini Kerajaan Johor juga mengetengahkan inisiatif baru iaitu Pesona Wanita Profesional sebagai satu platform pengiktirafan, dan juga untuk memanfaatkan kepakaran golongan wanita terpilih dalam pelbagai bidang profesional.

“Dalam memperhebatkan peranan wanita dalam pentas utama negeri Johor, Wanita UMNO juga menghargai usaha Kerajaan Johor dalam implementasi kajian Pembangunan Data Wanita Dan Keluarga Negeri Johor untuk memastikan bantuan diberikan secara bersasar dan efektif kepada wanita negeri berkenaa.

“Dalam usaha lain, Wanita UMNO juga bersyukur Kerajaan Negeri juga prihatin terhadap pengukuhan institusi kekeluargaan melalui Program Intervensi Keluarga dan Komuniti serta keprihatinan terhadap Warga Emas.

“Kami berharap usaha melalui belanjawan ini melalui 12 agenda secara keseluruhannya meletakkan kepentingan rakyat diutamakan dan telah disusun rapi bagi memastikan rakyat Johor terbela untuk mendepani cabaran yang akan datang dan bangkit dengan membangunkan keluarga pulih daripada kesan Pandemik COVID-19,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.