Rakyat Rindui Zaman Pentadbiran BN – Along

MELAKA, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Fairul Nizam Roslan berkata warga Asahan yang ditemui rata-rata menzahirkan kerinduan pada zaman BN mentadbir dahulu.

Katanya, ini berdasarkan pengakuan dan pengalaman rakyat ketika 22 bulan berada di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang amat memeritkan.

“Benar, BN tidaklah sempurna… Ada kekurangan juga di sana-sini, namun kata mereka setelah melalui sendiri zaman 22 bulan PH memerintah ternyata dan terbukti bahawa BN jauh lebih baik.

“Zaman PH telah terbukti lebih derita dan menyakitkan. Kehidupan menjadi sukar dan tidak menentu. Sadis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Fairul Nizam juga berpesan kepada rakyat khususnya pengundi agar tidak terpedaya lagi dengan janji-janji palsu PH dan fitnah yang dilontarkan.

“Janganlah kita gadaikan masa depan kita dan keluarga kita hanya kerana seronok mendengar janji manis dan kepetahan berkata-kata semata apatah lagi yang disulami dengan fitnah.

“Fikirkanlah dengan hati yang jernih dan tenang,” kata Fairul Nizam yang lebih gemar dikenali sebagai Along.

Calon anak muda yang diketengahkan parti itu juga memberi komitmen akan memberikan khidmat yang terbaik untuk warga Asahan.

“Saya Along, sebagai calon anak muda yang baru saya menawarkan pembaharuan sepenuhnya kepada warga Asahan baik dari segi kebajikan, ekonomi, pendidikan, kemudahan asas yang lebih baik dan sebagainya.

“Bersama, kita mampu menggapainya,” tekadnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit