MCA Harap Dapat Sumbang Kerusi Untuk BN – Presiden

MELAKA, 17 Nov – MCA berharap dapat menyumbang beberapa kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata antara kerusi yang dijangka mampu ditawan kembali parti itu adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Machap Jaya, Bemban dan Kesidang.

Beliau berkata ia susulan perkembangan positif pengundi kepada calon BN iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong di kerusi Kelebang.

“Jadi saya berharap Datuk Lim yang diterima segenap lapisan masyarakat dapat melakukan suatu kejutan, merampas balik kerusi itu. Ini satu impian kita. Selain itu kawasan Machap Jaya ini mempunyai ramai pengundi Cina, tapi kita pernah menang dan kita cuma kalah sekali bagaimanapun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2007 kita menang.

“Ketiga Bemban, kawasan ini sebenarnya tempat kelahiran saya. Kita juga letak calon walaupun dia (calon BN, Koh Chin Han) pernah kalah sekali, tapi kita harap dia diberikan peluang. Bagi Kesidang, walaupun kita mempertaruhkan calon muda (Leong Hui Ying), dengan gerakan anak muda, saya harap dia dapat melakukan sesuatu,” katanya dalam bicara bertajuk “PRN Melaka – Mengapa BN Tetap Pilihan Terbaik” yang diadakan secara maya.

Pada PRN Melaka, BN bertanding di kesemua 28 kerusi dengan UMNO 20 kerusi, tujuh MCA dan satu kerusi mewakili MIC.

Tujuh kerusi yang ditandingi MCA adalah di DUN Kelebang, Kesidang, Machap Jaya, Bemban, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini (20 Nov). – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit