Tujuh Kriteria Sebagai Persediaan Peralihan Ke Fasa Endemik

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Tujuh kriteria perlu dipenuhi sebagai persediaan negara untuk beralih ke fasa endemik atau ‘Reopening Safely’ dalam menuju ke arah persekitaran hidup bersama COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ia merangkumi satu prosedur operasi standard (SOP) dengan sembilan garis panduan; sistem amaran dan tindakan (HAS); Strategi Ujian Nasional; serta TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari).

Selain itu, automasi FTTIS (Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support); pembukaan sempadan negara secara berperingkat; dan duta-duta pemerkasaan komuniti juga adalah antara kriteria berkenaan.

“Namun semua ini bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan diadakan dalam minggu ini atau minggu depan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau juga berkata peralihan ke fasa endemik akan dilakukan secara serentak di seluruh negara, berdasarkan kepada kriteria antarabangsa termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hishammuddin berkata ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 hari ini bagi memastikan setiap perancangan ke arah endemik berjalan lancar, difahami semua pihak dan tidak menjejaskan usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Menurutnya peralihan ke fasa edemik merupakan langkah kerajaan seterusnya selepas kebanyakan negeri sudah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Sarawak dan Kelantan.

Beliau berkata kerajaan secara berhati-hati dan berperingkat telah memberikan pelbagai kelonggaran termasuk pembukaaan sektor industri, kebenaran rentas negeri, pembukaan semula sekolah dan institut pengajian tinggi serta melaksanakan gelembung pelancongan.

Sementara itu katanya pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati juga merupakan antara aspek penting dalam peralihan ke fasa endemik.

Hishammuddin berkata ia merangkumi aspek pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan; kemasukan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia; perjalanan berkaitan perniagaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta skim laluan perjalanan vaksinasi (VTL) udara di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri.

Skim VTL udara membolehkan individu yang telah divaksin lengkap melakukan perjalanan ke beberapa negara terpilih tanpa terikat dengan kewajipan menjalani kuarantin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.