TLDM Dijangka Terima Kapal LCS Pertama Pada 2025 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kementerian Pertahanan menjangkakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperoleh kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang pertama pada 2025, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata beliau mengambil pendekatan inklusif untuk melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd untuk menyelesaikan masalah dalam perolehan kapal LCS tersebut.

Beliau berkata inisiatif penyelesaian itu menggariskan dua komponen utama iaitu penstrukturan semula korporat dan pengumpulan dana yang turut melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

“Kini, Kementerian Pertahanan berada di peringkat akhir rundingan bagi menyediakan Pelan Pemulihan. Dalam masa sama bengkel-bengkel yang melibatkan semua pihak berkepentingan bagi Pemulihan Projek LCS juga telah diadakan bagi memastikan syor pemulihan yang komprehensif dapat dihasilkan sebelum diangkat semula ke Jemaah Menteri untuk kelulusan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata kerajaan telah bersetuju meluluskan permohonan perolehan LCS di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 dengan tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023.

Namun, katanya hingga 31 Okt lepas, kemajuan kerja bagi LCS adalah 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 96.57 peratus.

Secara keseluruhannya, perolehan berkenaan telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau bersamaan dengan 43 bulan, katanya.

Sementara itu, menjawab celahan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) mengenai kos kapal LCS yang akan meningkat susulan kelewatan perolehan, Hishammuddin memberi jaminan kerajaan tidak akan membayar wang lebih daripada yang dipersetujui kepada Boustead.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.