Sambutan Pembudayaan STI Tidak Berkurang Walaupun Dijalankan Secara Maya – Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Sambutan pelajar terhadap aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) tidak berkurang, walaupun dijalankan secara maya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata berdasarkan kajian, ramai ingin menyertai pertandingan yang dianjurkan secara maya kerana memudahkan mereka mendapatkan maklumat dan penjelasan berhubung STI.

Lebih menarik, penyertaan pelajar luar bandar dalam pertandingan itu juga menunjukkan peningkatan.

“Kita dapati sekolah yang memenangi pertandingan ini juga bukan sahaja dalam kalangan sekolah bertaraf sains, tetapi turut meliputi sekolah di kawasan pendalaman, umpamanya Sekolah Kebangsaan Kuala Berang, Terengganu yang memenangi pertandingan Virtual PSN SciFest (VPSF) 2021 hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan VPSF dan pengumuman pemenang ‘National Tinkering Challenge’ (NTC) 2021 di Pusat Sains Negara (PSN) Kuala Lumpur hari ini.

Oleh itu, untuk terus membudayakan STI, PSN akan terus menganjurkan pelbagai pertandingan di masa hadapan termasuk menyasarkan seramai 500 peserta menyertai NTC tahun hadapan.

Selain itu, PSN juga katanya telah mengambil inisiatif menawarkan tarikan baharu iaitu Galeri ‘Tinker Garage’ bertujuan untuk menyediakan ruang fasiliti, peralatan dan modul pembelajaran dalam usaha membudayakan amalan ‘tinkering’ atau keupayaan menyelesaikan masalah STI melalui fikiran.

“Usaha ini diharap dapat menjadi salah satu pemacu ke arah membina bakat STI yang selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, yang memfokuskan kepada kemajuan ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

Pada majlis tersebut Dr Adham turut mengumumkan PSN Kuala Lumpur dan Wilayah Utara di Gunung Keriang, Kedah akan kembali dibuka esok dengan caj kemasukan percuma sehingga Ahad (21 Nov).

Selepas tempoh berkenaan, orang ramai juga berpeluang menikmati potongan harga tiket sebanyak 50 peratus sehingga hujung tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.