PRN Melaka: Undi Awal Bermula 8 Pagi

MELAKA, 16 Nov – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan bermula 8 pagi ini yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian berlangsung di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) di 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri sehingga 5.30 petang ini.

Pusat Pengundian Awal termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin selain beberapa balai polis.

Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

Proses pengundian berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan SPR untuk mencegah penularan COVID-19 dan pengundi perlu mematuhi dengan hadir memakai pelitup muka, melakukan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan serta mengimbas kod QR MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Selain itu, berus pakai buang akan digunakan untuk mencalit dakwat pada jari pengundi yang dikesan mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah Celsius dan bergejala batuk serta selesema sebagai sebahagian daripada SOP baharu semasa proses pengundian awal bagi PRN Melaka.

Bagi mengelakkan kesesakan di tempat mengundi, empat slot waktu kehadiran mengundi ditetapkan dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Slot waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 Nov ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit