Perdagangan Luar NCER Meningkat 13.1 Peratus Kepada RM191.7 Bilion Pada Suku Ketiga – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Perdagangan luar Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat 13.1 peratus tahun ke tahun kepada RM191.7 bilion pada suku ketiga 2021 dengan jumlah sebanyak 35.1 peratus daripada keseluruhan nilai perdagangan luar Malaysia, disumbangkan oleh pemulihan dalam permintaan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sektor pembuatan kekal sebagai aktiviti utama dalam NCER, menyumbang sebanyak 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu meningkat sebanyak 304 peratus daripada RM11.8 bilion pada separuh kedua 2020 kepada RM47.91 bilion pada separuh pertama 2021, menandakan pemulihan jangka panjang.

“Peranan strategik dan pelan tindakan proaktif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam menangani pemulihan pasca pandemik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025, mendapat pengiktirafan pada Mesyuarat Majlis NCIA ke-27 hari ini.

“Strategi yang diambil telah membuahkan hasil dengan pelaburan besar sebanyak RM21.41 bilion, peningkatan 34 peratus daripada sasaran awal sebanyak RM16 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendekatan serampang tiga mata NCER yang memperkasakan kumpulan mudah terjejas melalui program modal insan yang berpaksikan rakyat, memangkin pertumbuhan ekonomi serantau yang seimbang melalui infrastruktur strategik dan memacu pelaburan swasta untuk menangani ketidakseimbangan serantau.

Katanya pendekatan ini akan turut membolehkan NCER mencapai ekonomi bernilai RM300 bilion; purata pendapatan isi rumah mencapai RM10,508; 161,197 penciptaan pekerjaan terkumpul dan RM146.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.

Di samping itu, katanya pelaburan ke wilayah ini akan mewujudkan sejumlah 23,506 pekerjaan di NCER.

“Selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’, lebih 65,000 peserta termasuk wanita, belia dan masyarakat Orang Asli telah menerima manfaat daripada pelbagai program modal insan berpaksikan rakyat dalam mengatasi cabaran pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata program empowerNCER-Kemahiran dan Keusahawanan dan JomNiaga@NCER akan mewujudkan hampir 10,000 usahawan mikro dan pekerja mahir dalam kalangan kumpulan B40.

“Pada masa ini, lebih 900 peserta telah keluar daripada kemiskinan, apabila 300 peserta telah beralih kepada kategori M40 dan T20.

“Lebih 5,000 penggerak ekonomi tempatan ini bukan sahaja berjaya menjana pendapatan kira-kira RM45 juta secara kolektif dalam tempoh enam bulan, tetapi juga mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata program ini juga telah membantu lebih 5,200 perusahaan mikro dan PKS yang mana pembiayaan RM85.9 juta telah diluluskan oleh Maybank dan AgroBank, menghasilkan Sifar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) setakat ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.