COVID-19 Terkawal, Jangan Takut Keluar Mengundi – Ahmad Maslan

MERLIMAU, 16 Nov – “Saya mendapat perkhabaran ada pengundi yang khuatir untuk keluar mengundi pada 20 November ini kononnya masalah COVID-19 dan sebagainya,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini rata-rata keseluruhan rakyat telah divaksin sebanyak 95 peratus dan ini jelas terbukti keadaan COVID-19 kini terkawal.

“Saya menyeru kepada pengundi bahawa tempat-tempat perniagaan seperti kedai makan, pasar raya, pasar tani, tempat hiburan, sekolah sudah dibuka. Ini menunjukkan kerajaan memperakui keadaan COVID-19 ini semakin terkawal, vaksinasi semakin banyak dan kes semakin berkurangan.

“Jangan mengada-adakan cerita adanya berlaku jangkitan dan bermacam-macam lagi yang cuba memadamkan kesusahan hati pengundi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menmberikan gambaran bahawa semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim tiada jangkitan COVID-19 yang berlaku sedangkan masa itu tiada sesiapa yang menerima vaksin.

“Saya mengingatkan kembali iaitu pada PRK DUN Chini, tidak ada berlaku kluster Chini manakala di Slim pula pun juga tidak ada kluster Slim sedangkan pada ketika itu tiada seorang pun yang sudah divaksin.

“Jangan ada kerisauan tentang COVID-19 ini tentunya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ada mengaturkan pusat-pusat pengundian dengan keadaan yang selamat dari segi penjarakkan, masa dan saluran. Oleh itu jangan ada risau untuk keluar pergi mengundi,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit