Bantu Golongan Rentan Semasa Pandemik, Kuantan Terima Anugerah WHO – Wan Rosdy

KUANTAN, 16 Nov – Inisiatif Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membantu golongan rentan semasa pandemik COVID-19 melayakkan bandar raya itu menerima pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada persidangan Global Conference of the Alliance for Healthy Cities baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berkongsi kish kejayaan itu menerusi kenyataan media di sini hari ini berkata Kuantan memenangi kategori ‘menyantuni kumpulan rentan untuk penjagaan dan perlindungan semasa pandemik COVID-19’ yang diumumkan pada 5 Nov lepas.

Kuantan merupakan satu daripada tujuh bandar raya di seluruh dunia yang memenangi anugerah pelbagai kategori anjuran WHO itu, di samping bandar raya Kuching, di Sarawak, yang memenangi anugerah Pengiktirafan Khas Bandaraya Sihat.

“Kejayaan Kuantan meraih anugerah ini susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin Ke atas Kumpulan Rentan Bandar yang memberi keutamaan terhadap tiga golongan rentan.

“Golongan itu ialah miskin tegar, golongan sasaran berpendapatan rendah B40 khususnya yang menyewa di sebuah kawasan perumahan serta golongan rentan yang tinggal di pusat bandaraya,” katanya.

Pengumuman pemenang anugerah itu dibuat menerusi persidangan secara talian pada 5 Nov lepas yang menyaksikan Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin menerima pengiktirafan berkenaan.

Turut menerima pengiktirafan ialah Songpa, Korea Selatan memenangi kategori berkaitan Pencemaran Udara; Shangrao, China (Penuaan Sihat); Gangdong, Korea Selatan (Makanan Berkhasiat); Obu, Jepun (Ketidakaktifan Fizikal) dan Baguio, Filipina (Bebas Asap).

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata 11,625 orang telah dibantu antaranya 6,679 penerima bantuan makanan, bantuan kewangan (2,179 penerima), bantuan kesihatan (1,907 penerima), bantuan pendidikan (730 penerima) dan peluang pekerjaan (75 penerima).

Kejayaan itu juga merupakan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) serta pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat perniagaan.

Wan Rosdy berharap pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat kakitangan MBK untuk lebih bersemangat mencipta lebih banyak kejayaan bagi menjadikan Kuantan bandar raya gemilang dan selesa demi kemashalatan penduduk. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.