89.9 Peratus Pengundi Awal Keluar Tunai Tanggungjawab – SPR

MELAKA, 16 Nov – Sejumlah 89.9 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.

Ikmalrudin dalam satu kenyataan berkata ia melibatkan 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Tidak lupa media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

Terdahulu, proses pengundian awal bermula 8 pagi tadi di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) dengan 21 PPA ditutup pada pukul 2 petang manakala 10 lagi ditutup pada 5.30 petang.

Penekanan diberikan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan langkah merekodkan kehadiran dilaksanakan di pusat-pusat pengundian selain mereka yang hadir perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 Nov ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit