Purata Pendapatan Penduduk Luar Bandar Meningkat 34.5 Peratus Dalam Tempoh 17 Tahun

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Purata pendapatan penduduk luar bandar di Malaysia meningkat 34.5 peratus dalam tempoh 17 tahun, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada 2002 kepada RM5,004 pada 2019.

Katanya penduduk luar bandar juga mencatat peningkatan dalam aspek liputan bekalan air di rumah daripada 74.7 peratus pada 2000 kepada 84.9 peratus pada 2019, manakala liputan bekalan elektrik pula meningkat daripada 84.6 peratus pada 2000 kepada hampir 99 peratus pada 2019.

“Ini adalah bukti bahawa usaha-usaha yang dijalankan Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar,” katanya dalam kenyataan susulan majlis sesi libat urus Menteri Pembangunan Luar Bandar bersama Ahli Parlimen Keluarga Malaysia di Bangunan Parlimen hari ini.

Sesi libat urus tersebut yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diadakan bagi memberi penerangan mengenai hala tuju dan perancangan pembangunan kementerian itu pada tahun hadapan, selain mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadap program yang dilaksanakan.

Mahdzir berkata data Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pula menyatakan capaian internet di luar bandar adalah 83.9 peratus.

KPLB telah diperuntukkan RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tahun 2022, yang meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

Menurut Mahdzir, tumpuan KPLB terarah kepada program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Sebanyak RM2.44 bilion telah diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk 2022. KPLB akan terus berusaha untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar di mana program infrastruktur akan diteruskan pelaksanaannya,” katanya. – BERNAMA