Jepun Sumbang Peralatan Rangkaian Sejuk Kepada Kementerian Kesihatan Malaysia

PUTRAJAYA, 15 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menerima sumbangan peralatan rantaian sejuk bernilai RM6 juta daripada kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) yang meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin COVID-19.

Sumbangan berupa 184 peti sejuk, 1,343 kotak sejuk dan 1,579 pencatat data itu akan diedarkan kepada 436 kemudahan kesihatan awam di seluruh negara secara berperingkat untuk memperkukuh pengurusan rantaian sejuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dijalankan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada majlis penyerahan di sini hari ini berkata Malaysia menghargai sumbangan ikhlas kerajaan Jepun semasa wabak itu melanda dan pendirian mereka membantu negara lain yang sedang bergelut melawan COVID-19.

“Acara ini adalah contoh terbaik pakatan strategik yang mempamerkan sikap kemanusiaan cemerlang dalam memerangi COVID-19 secara bersama-sama serta usaha untuk mencapai matlamat yang serupa,” katanya sambil menambah bahawa usaha ini direalisasikan berikutan hubungan baik dan kukuh yang lama terjalin antara Malaysia dan Jepun.

Pada Julai lepas, Malaysia telah menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang disumbangkan oleh Jepun untuk mempergiatkan proses vaksinasi di bawah PICK.

Duta Besar Jepun di Malaysia Oka Hiroshi yang turut hadir pada majlis itu memuji proses vaksinasi kerajaan Malaysia yang disifatkan lancar dan menzahirkan penghargaan terhadap sikap kerajaan Malaysia yang memberi layanan sama rata kepada warga Jepun dalam melaksanakan program vaksinasi kebangsaan.

“Ia membuatkan kami berasa selamat di tengah-tengah krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Hiroshi. – BERNAMA