Yakin Rakyat Pilih BN, PRU-14 Jadi Pengajaran – Calon DUN Bukit Katil


MELAKA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Datuk Hasnoor Sdg Hussin yakin rakyat akan memilih BN di di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Katanya kepada UMNO Online baru-baru ini, keyakinan itu berdasarkan kepada pengalaman rakyat ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.


“Kita mewakili BN dan tidak kisah siapa pun harus lawan dan yakin bahawa kali ini rakyat lebih cenderung kepada BN berbanding pilihan raya lalu.

“Rakyat telah melihat beberapa kegagalan yang telah dibuat oleh kerajaan PH semasa 22 bulan memerintah kerajaan Negeri Melaka dan rakyat sudah perasan perkara ini tentang kegagalan demi kegagalan,” ujarnya.

Kerusi DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan Bebas.

Selain Hasnoor mewakili BN, calon yang bertanding adalah Adly Zahari (PH), Mohammad Al Hafiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).

Hasnoor merupakan antara muka baharu yang diketengahkan oleh parti bagi bertanding di salah satu kerusi di antara kesemua 28 kerusi DUN.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November ini sebagai tarikh mengundi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit