SOP Bukan Kekangan, Rakyat Nilai Khidmat Bakti Lebih Awal – Helmy

KOTA MELAKA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengakui mendengar pelbagai keluhan berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Namun bagi dirinya, kekangan SOP bukan suatu masalah yang besar malah ia merupakan kesempatan baik kerana beliau telah berkhidmat lebih awal kepada rakyat.

“Ramai yang kata ia membebankan tetapi ada kelompok yang kata ini adalah peluang untuk mereka yang telah bekerja lebih awal lagi berkhidmat kepada rakyat. Sebagai contoh kebajikan kepada rakyat ini telah dilakukan dari zaman UMNO/BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 kemudian ditambah pula dengan 19 bulan menjadi kerajaan sementara.

“Jadi dalam tempoh itu mereka yang telah memberi khidmat bakti secara konsisten mempunyai ruang dan peluang yang lebih cerah kerana mereka tidak terikat dengan SOP yang telah dikenakan ketika ini.

“Dan sebaliknya calon-calon payung terjun yang tidak biasa bekerja di lapangan dari awal akan mendapat masalah kerana kebiasaannya golongan ini mengharapkan ceramah perdana, program-program yang memberikan impak sedangkan ianya memberikan kesan pada waktu itu sahaja ,” katanya.

Jelas Helmy lagi, calon tempatan juga memainkan peranan untuk menarik sokongan rakyat kerana individu seperti ini mempunyai hubungan yang tersendiri dengan rakyat setempat.

“Satu lagi peluang adalah calon tempatan maksudnya dalam konteks calon itu berasal dari Kota Melaka dia aktif di kawasan… berparti, berpolitik, berkawan dia berada dalam kelompok bahagian itu sendiri.

“Jadi ini memberikan kelebihan kepada mana-mana parti yang telah meletakkan calon yang telah bekerja dari awal dan calon itu daripada kelompok bahagian yang sama.

“Bagi saya tidak ada istilah yang mengatakan SOP ini menjadi bebanan,” ujar beliau. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit