Kak Som Akan Wujudkan Pengkalan Batu Job Store (PBJS), Pangkalan Data Peluang Kerjaya

TANGGA BATU, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin memberi komitmen akan mewujudkan Pengkalan Batu Job Store (PBJS) sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Ini juga selaras dengan Teras 2 Lonjakan Ekonomi Baharu di dalam manifesto BN Melaka 5 Tahun bahawa Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) bakal menjana 10,000 peluang pekerjaan.

“Lonjakan Ekonomi Baharu ini akan memberi limpahan rezeki buat rakyat Melaka dan ia semestinya perlu dinikmati oleh penduduk Pengkalan Batu.

“Justeru itu, PBJS akan diwujudkan sebagai satu pangkalan data buat pencari kerja dan penyedia peluang pekerjaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, pemusatan maklumat ini bakal memberi manfaat kepada mereka yang hilang punca pendapatan, belia dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambahnya lagi, platform fizikal ini juga akan bertindak sebagai ejen mediator dalam menghubung dan memadan taraf pendidikan dan kemahiran dengan industri yang tepat. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit