Giatkan Usaha Dekati Pengundi Atas Pagar, Pesan Sulaiman

ALOR GAJAH, 14 Nov – Jentera kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini mempergiatkan usaha mendekati pengundi kelabu atau atas pagar.

Calon BN Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata usaha itu perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan golongan pengundi berkenaan terhadap kepimpinan BN pada PRN Melaka kali ini.

”Saya sering ingatkan jentera agar jangan take for granted (tidak mengambil berat) golongan ini kerana suasana berkempen yang ketat dengan SOP (prosedur operasi standard) membuatkan calon, terutama yang baharu tidak dikenali pengundi. Macam saya lama pun kena kerja berlipat kali ganda untuk memastikan pengundi putih dan kelabu ini jelas dan faham manifesto yang dibawakan BN.

“Sudah pasti kita kena lebih mendekati mereka dengan penuh berhemah kerana itulah asas cara kita berkempen,” katanya kepada media di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata tahap keyakinan BN untuk memperoleh majoriti kerusi dalam PRN Melaka kini sudah melebihi 50 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan oleh jentera BN bersama pengundi di seluruh negeri ini.

“Bagaimanapun kita perlu melipat gandakan usaha bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN kerana kita mengakui, saingan PRN ini sangat sengit daripada calon-calon yang bertanding,” katanya.

Beliau juga mahu calon muda BN yang bertanding di 28 DUN bekerja lebih kuat sepanjang kempen PRN Melaka ini untuk memastikan rakyat mengembalikan semula mandat pemerintahan kepada BN

“Mereka kena much.. much better (lebih baik) dari kami (yang veteran), kena lebih cepat ke hadapan kerana mereka inilah akan kita wariskan negara. Paling penting jangan sia-siakan masyarakat yang undi calon ini,” katanya. –BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit