Bukti UMNO/BN Komited Bantu Rakyat Melaka, Tiada Calon ‘Mee Segera’ – Dr Akmal

JASIN, 14 Nov – Barisan Nasional (BN) membuktikan komited membantu rakyat berdasarkan calon-calon berkaliber yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Namun katanya perkara yang paling penting calon yang dibawa ini bukan dalam kalangan kategori calon ‘mee segera’ yang disifatkan beliau hanya bermusim mendekati rakyat.

“Kenapa rakyat perlu undi kepada BN? Kerana parti ini berani mempertaruhkah muka-muka baharu serta BN juga tidak meletakkan calon ‘mee segera’.

“Saya panggil ini sebagai calon ‘mee segera’ atau calon durian sebab ada setengah itu datang bermusim sahaja iaitu masa pilihan raya. Jadi, pemimpin UMNO/BN yang telah dipilih ini bukan calon sebegitu,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Begitu juga katanya dengan ketetapan parti yang telah mencalonkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Dari segi kebolehan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mentadbir selama 18 bulan telah terbukti jadi tidak ada isu pun yang berlaku, jadi kenapa kita perlu tolak pemimpin sebegini untuk diangkat menjadi ketua kita?

“Jadi tidak ada alasan untuk orang Melaka mengatakan tidak kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri sekiranya UMNO menang pada PRN ini,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Negeri Melaka juga berkata 86 peratus calon muka baharu yang diketengahkan oleh UMNO/BN kali ini juga membuktikan pembaharuan yang dilakukan parti seiring dengan kehendak rakyat.

Jelas beliau, kepercayaan yang diberikan kepada golongan muda juga merupakan suatu pembaharuan apatah lagi mereka yang dipilih ini tidak mempunyai latar belakang keluarga politik.

“Kalau dahulu tidak mungkin seorang anak kampung yang tidak ada latar belakang politik yang kuat… keluarga termasuk ayah saya juga bukanlah wakil rakyat atau mempunyai kepentingan dalam politik tetapi saya dipilih atas dasar kepercayaan yang diberi parti.

“Saya adalah bukti menjadi calon pada umur 33 tahun, dalam senarai Pemuda UMNO yang dipilih menjadi calon saya adalah paling muda sekali.

“Kami semua tidak ada latar belakang politik langsung hanya memegang jawatan tetapi dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi wakil kepada mereka. PRN Melaka ini membuktikan bahawa UMNO telah berubah, UMNO kini telah diberikan nafas dan wajah yang baharu sebab apa rakyat hendakkan muka baharu maka ini yang diberikan UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit