PM Wakili Rakyat Ucap Tahniah Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili pihak pentadbiran dan seluruh rakyat Malaysia merafak sembah ucapan tahniah sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan seluruh ahli keluarga sentiasa dilindungi dan dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah SWT, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu.

“Moga tuanku berdua terus bersemayam di singgahsana dengan kedaulatan, dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyelitkan pantun:

Raja dan rakyat berpisah tiada,
Perkara rakyat dikongsi bersama,
Rakyat mengangkat institusi beraja,
Raja dan rakyat pasti bahagia.

Sukacita Tuanku negara maju,
Pemerintahan Tuanku terus dipacu,
Rakyat menjunjung Ke Bawah Duli Tuanku,
Mendoakan Tuanku terus di mercu.

Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.

Seramai 44 individu menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini.

Istiadat kali ini merupakan tahun kedua menyaksikan ia berlangsung dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ekoran pandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.