Penghinaan Pengerusi PN Tak Patahkan Semangat Pendokong BN Yang Setia

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa dengan kata-kata penghinaan yang dilontarkan oleh seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dokongan dan sokongan dari ahli akar umbi Barisan Nasional (BN).

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahmad Zahid melahirkan perasaan demikian merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau yang “mengisytiharkan” sejarah BN telah berakhir.

“Tidak mengapalah Pengerusi PN mahu menyatakan apa pun kerana pendokong dan penyokong BN yang setia lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya.

“Rakyat juga telah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lepas.

“Pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan dari pelbagai hala ditujukan kepada BN. Tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh pendokong dan penyokong BN di seluruh negara,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Tambahnya lagi, yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi.

“Penghinaan Pengerusi PN itu malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka kali ini.

“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepadai PN bahawa sejarah BN belum berakhir,” katanya.

Tegasnya lagi, ternyatalah keputusan akar umbi UMNO pada Perhimpunan UMNO 2020 untuk tidak bekerjasama dengan PPBM merupakan satu langkah yang tepat.

“Kata-kata Presiden PPBM itu sekaligus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar PPBM ke atas BN dan UMNO amnya,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.