Lima Atau Tiga Penjuru? Yang Penting Cerita Apa Nak Buat Di Paya Rumput

TANGGA BATU, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yassin berpandangan berapa penjuru sekalipun di kawasan berkenaan, apa yang penting adalah apa yang hendak dibawa oleh seseorang calon untuk sesuatu kawasan yang ditandingi.

Baginya lima penjuru di Paya Rumput Pada Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka 20 November nanti merupakan proses demokasi dan apa yang diharapkan bertandinglah secara sihat.

“Walau sesiapa pun calon yang bertanding di DUN Paya Rumput ini kita bertandinglah secara sihat. Saya tidak nampak keperluan fitnah-memfitnah atau memburukkan antara satu sama lain.

“Kita ceritalah apa kita nak buat. Saya dilahirkan dan membesar di kawasan ini dan kampung saya Kg Paya Rumput. Apa-apa permasalahan saya tahu sebab saya pun alami benda yang sama. Isu-isu tempatan itu saya faham. Isu banjir, isu rumah dan ini antara tumpuan saya.

“Kita sekarang berada Krubong. Di sini ada satu PPR (Projek Perumah Rakyat) Krubong dan itulah satu-satunya PPR di dalam DUN Paya Rumput ini. Bayangkan dengan kepadatan penduduk rumah mampu milik hanya ada satu. Jadi isu-isu tempatan seumpama ini akan saya utamakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

PRN Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menyaksikan saingan lima penjuru. Rais yang mewakili BN akan bersaing bersama calon daripada parti PUTRA, Mohamad Hashidi Mohd Zin; Perikatan Nasional (PN), Muhammad Faris Izwan Mazlan; Bebas, Mohd Jaini Dimon dan; Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin yang juga Ketua Penerangan PKR.

Beliau seterusnya berkata PRN Melaka dapat memberikan ruang serta peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik untuk mereka memilih wakil rakyat.

“Jadi saya tidak nampak walaupun mereka yang datang itu orang besar atau kecil, saya hanya nampak kita perlu menceritakan apa yang kita mahu buat dan laksanakan untuk orang Paya Rumput kerana ini adalah PRN… yang kita perlu perjuangkan adalah nasib rakyat di DUN kita ini. Itu yang penting,” ujarnya.

Menyentuh soal manifesto, Rais menjelaskan Kestabilan Demi Kemakmuran Bersama adalah satu ‘tagline’ yang amat bertepatan dalam usaha memastikan sesebuah kerajaan itu stabil demi kepentingan Melaka dan seluruh rakyatnya.

“Kestabilan…kenapa perlunya kestabilan. Perlunya kestabilan kerana dengan adanya kestabilanlah kita boleh dapat kemakmuran. Apabila kita makmur barulah negeri itu atau sesebuah kawasan itu boleh  dimajukan. Jadi ini yang paling penting kenapa BN memilih Kestabilan Demi Kemakmuran.

“Tetapi kalau sesebuah negeri itu tidak stabil, orang ini boleh ugut, orang itu boleh ugut…Pada saya kestabilan itu amat penting. Jadi saya berharap di DUN Paya Rumput ini saya merayu dan memohon berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada anda semua dan saya salah seorang daripada anda yang berada di Paya Rumput ini,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit