Fairul Nizam Beri Komitmen Terbaik Selesaikan Masalah Rakyat, Tanpa Mengira Kaum

MELAKA, 13 Nov – Penggunaan dan capaian maklumat dari media sosial menjadi satu cara berkempen di dalam norma baharu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Fairul Nizam Roslan atau lebih mesra dengan panggilan Along melalui Facebook berkata akan memberi komitmen yang tinggi untuk membantu rakyat di kawasannya tanpa mengira ras, agama dan bangsa.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk segera menyelesaikan apa sahaja isu berbangkit atau dibangkitkan oleh masyarakat setempat di Asahan.

“Saya beri komitmen untuk usahakan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini dan juga beberapa isu lain yang dibangkitkan mereka berhubung masyarakat kaum India di Asahan,” kata Fairul Nizam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri

Tengah hari tadi, Fairul Nizam bersama Persatuan Kebajikan India Asahan Melaka meninjau sedikit permasalahan di kawasan perkuburan masyarakat, India di Bukit Panjang di sini dan memberi komitmen menyelesaikannya.

Terdahulu di platform media sosialnya itu Fairul Nizam menyatakan rancangannya mahu mengadakan kelas tuisyen secara percuma untuk anak-anak di dalam DUN Asahan terutama bagi golongan B40.

Begitu juga, beliau mahu menyelesaikan masalah pembinaan masjid di Selandar yang telah dibatalkan sewaktu zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit