Demi Kesejahteraan, Kestabilan Dan Kemakmuran… Beri Mandat Kepada BN – Rahmad

HANG TUAH JAYA, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman mengharapkan agar rakyat dapat memberikan mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, mandat yang bakal diberikan oleh rakyat agar segala apa yang dirancang dahulu dapat dicapai.

“Saya mohon diberikan mandat kepada BN agar dapat meneruskan apa yang telah dirancang di negeri ini seperti pembangunan, Melaka Waterfront, ekonomi dan sebagainya.

“Saya mengharapkan agar segala perancangan dapat diteruskan demi kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran rakyat negeri Melaka termasuk juga DUN Ayer Molek ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka berkata, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat banyak perkara-perkara yang dapat diselesaikan dan kemajuan telah dibawa ke Ayer Molek.

“Saya menyelesaikan satu persatu, saya jadi ‘tukang penyelesaian masalah’. Alhamdulillah masalah-masalah itu dapat diselesaikan cumanya pembangunan ataupun membuat satu landskap bentuk baru dalam DUN Ayer Molek ini tak banyak dilakukan dan tiba-tiba kerajaan ini telah dibubarkan,” ujarnya.

Bagi kerusi N18 DUN Ayer Molek, penyandang Rahmad bakal berdepan pertembungan empat penjuru, selain calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Rafee Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN) Mohd Fadly Samin turut bertembung seorang calon Bebas Ahmad Muaz Idris yang turut bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, DUN Ayer Molek, dimenangi calon BN Datuk Rahmad Mariman dengan majoriti 1,805 undian menewaskan calon PKR, Farhan Ibrahim dan calon Pas, Jantan Abdullah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit