Tolak Politik Fitnah Dan Kebencian, UMNOSiswa Sokong Serlahkan Calon Muda

MELAKA, 12 Nov – UMNOSiswa menolak sebarang bentuk kempen politik kebencian sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuklah tindakan sesetengah pihak melakukan serangan tidak bermoral dan eksploitasi media terhadap mereka.

Presidennya, Mubarak Kunyi berkata demikian susulan satu poster yang tular menggunakan nama UMNOSiswa dengan ayat “UMNOSiswa Menolak Calon Pelacur Politik” yang hakikatnya adalah fitnah yang jijik dan tidak bermoral.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya kenyataan ini dan menyifatkannya sebagai fitnah jahat bagi memburukkan imej UMNOSiswa dan Barisan Nasional (BN) dalam suasana kempen pilihan raya negeri Melaka.

“Ironinya ia disebarkan melalui ‘group-group whatsapp’ parti-parti tertentu dan tidak langsung pernah dikeluarkan melalui mana-mana ruang rasmi Presiden UMNO siswa atau UMNO Siswa sendiri,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang melakukan tindakan ini, agar berubah dan menghentikan budaya politik fitnah serta kebencian yang pernah diamalkan Pakatan Harapan (PH) dalam misi menumbangkan Kerajaan BN dahulu serta perlu berubah kepada politik baharu yang mengangkat nilai idea dan berbudaya.

“Kami berpegang kepada pendirian bahawa perlunya untuk dijulang watak-watak baharu dalam kancah politik semasa tanah air. Bahkan kami turut menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap calon-calon muka baru daripada koalisi UMNO-BN.

“Malah kami menyambut baik tindakan UMNO-BN meletakkan 86% calon muka baharu dalam PRNi Melaka. Kami yakin bahawa ini antara bukti proses rejuvenasi UMNO BN itu sendiri yang sedang galak diusahakan.”

Dalam masa yang sama Mubarak memaklumkan bawa UMNOSiswa juga turut meraikan penampilan sulung daripada calon-calon muda walau daripada parti mana sekalipun dalam PRN Melaka kali ini yang secara tidak langsung telah mezahirkan betapa peranan anak muda tidak wajar dipandang mudah.

“Kami juga menyambut baik calon-calon anak muda yang berani berpencak di gelanggang politik nasional selaras dengan prinsip demokrasi yang wajar diraikan. Namun, ia perlu tampil dengan merit dan kualiti yang tersendiri.

“UMNOSiswa berharap agar semua parti, jentera kempen dan calon dapat mengetengahkan idea yang segar, aspirasi yang teguh dan manifesto yang membina selain menawarkan kualiti pembawaan yang lebih inklusif. Teruskan bersaing dengan matang dan budaya yang sihat.

“Tuntasnya, UMNOSiswa sangat berpegang kepada politik nilai dan dasar dalam membawa negara Malaysia dan rakyatnya.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit