Pengkalan Batu Perlukan Hub Perkembangan, Pembangunan Ekonomi Setempat – Kalsom

MELAKA, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Nordin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berkata rata-rata peniaga kecil dan usahawan muda yang ditemui inginkan satu Model Pembangunan Ekonomi khas buat warga kawasan tersebut.

Justeru itu katanya, satu Pusat Perkembangan dan Pembangunan Ekonomi DUN Pengkalan Batu perlu diwujudkan sebagai usaha dalam meningkatkan keupayaan dan taraf hidup golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun sebagai Usahawanita, #KakSomUntukSemua pertaruhkan komitmen ini untuk merangka strategi baharu bagi membantu penduduk DUN Pengkalan Batu menghadapi tekanan ekonomi yang kian mencabar,” ujar Kalsom yang lebih mesra disapa sebagai Kak Som dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, DUN tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Norhizam Hassan Baktee dari Bebas setelah lompat dari parti Dap.

Bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ini, selain Kalsom, kerusi DUN Pengkalan Batu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara beliau, Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan-Dap), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional-PPBM), Norhizam (Bebas) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

Ekoran peraturan kempen yang ketat ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan COVID-19, calon-calon yang bertanding menggunakan sepenuhnya media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Twitter dan Youtube, untuk hebahan mengenai visi, misi dan aktiviti mereka. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit