Guna Politik Murahan Tagih Simpati, Cikgu Ali Cabar Azman Berdebat

MELAKA, 12 Nov – UMNO Tangga Batu menafikan wujud sebarang dakwaan bagi menyekat pengaruh politik bekas Adun Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata dakwaan Nor Azman itu merupakan satu kenyataan yang terdesak bagi menagih simpati pengundi khususnya dari UMNO.

“Pada saya kenyataan tersebut jelas berniat jahat, terdesak dan hanya bertujuan untuk menagih simpati pengundi UMNO kerana beliau sedar tanpa pengundi dan jentera UMNO adalah mustahil untuk beliau mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundur.

“Beliau dipecat dari parti kerana tindakannya yang rakus kuasa sehingga menyebabkan kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO tumbang,” katanya kepada pemberita sebentar semalam.

Terdahulu Azman ketika ditemubual sebuah portal atas talian Sabtu lalu mendakwa, wujud politik ‘pancung-memancung’ di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Dalam politik ini ada ‘pancung-memancung’ bila dia tengok kita ini melebihi (dan) ada pengaruh jadi mereka meihat orang ini bahaya, mengugat dan boleh menggangu di peringkat atasan. jadi senang cerita mesti di pancung.

“Bila buat macam tu siapa yang rugi (sedangkan) saya ini aset (parti) dan saya sangat sayangkan UMNO, nenek moyang saya tak ada parti lain melainkan UMNO,” katanya memetik rakaman perbualan tersebut.

Seterusnya Mohamad Ali mencabar Azman untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan segala dakwaannya itu.

“Kalau boleh tidak mahu memanjangkan isu ini, namun sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk tampil mempertahankan bahagian ini dari sebarang fitnah dan dakyah politik murahan seperti ini.

“Terpulang kepada beliau untuk terima atau tidak tapi kalau betul kononnya beliau dianiaya UMNO Tangga Batu mari kita bersemuka dan biar rakyat di Tangga Batu ini menilai siapa yang benar dan siapa yang salah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit