BN Bukan Parti Ekstrem, Pendukung Kemajmukan Malaysia – Khaled Nordin

MalaysiaKini hari ini melaporkan kenyataan Presiden PAS yang dipetik berkata bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah satu pakatan kesederhaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

2. Memandangkan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang tidak berada dalam pakatan tersebut, secara tidak langsung beliau turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem.

3. Sudah tentu pandangan sebegini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme. Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya PAS. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

KOTA MELAKA 11 Nov–BERKIBAR… Bendera Barisan Nasional (BN) berkibar di sepanjang jalan dalam Duyong bagi menghangatkan suasana menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka di sini hari ini.

4. PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

5. Mereka tidak yakin PAS boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

6. Kerana itu, walau berpuluh tahun kewujudannya, dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima PAS sebagai parti yang boleh mewakili mereka.

7. Sekarang PAS berkicau seolah-olah ia lebih ‘sederhana dari yang sederhana’. Tetapi rekod dan prestasi PAS jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana.

8. Ia mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi kerana PAS menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi Kerajaan ia terpaksa menjadi sederhana.

9. Sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia. Kerana itu BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana.

10. Lihatlah rekod PAS. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

11. Jadi apabila parti di luar pakatan yang disertai PAS dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

12. Kepada PAS dan PN, BN ada kelemahannya. Namun kelemahan BN bukannya kerana ia parti yang ekstrem.

13. Sekali pun BN itu mungkin ada sisinya yang ‘ekstrem’, ekstrem BN itu bersebab dan berasas. BN ekstrem mempertahankan kemajmukan Malaysia. BN ekstrem menentang mereka yang khianat pada mandat rakyat dan meludah demokrasi dengan melompat sesedap rasa. BN ekstrem mengembalikan demokrasi dan memulihkan Malaysia dengan sebaiknya.

14. Kepada ‘perikatan menentang parti yang ekstrem’ itu, alhamdulillah, akhirnya anda menyedari bahawa Malaysia ini majmuk dan sederhana. Tetapi kalau di hulu airnya keruh, tidak dapat tidak, di hilirnya keruh juga.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.