Keupayaan Calon Wanita BN Mampu Tandingi Calon Lain – Suhaila
KUALA LUMPUR 12 Nov – Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor, Suhaila Datuk M Zin berkata langkah pucuk pimpinan meletakkan kepercayaan kepada lima calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan kepimpinan wanita negeri tersebut diberi kepercayaan untuk bersama-sama menjadi jentera hadapan BN dan seterusnya berkhidmat untuk rakyat.
Justeru katanya jentera Wanita UMNO dan BN bergerak dengan tahap yang maksimum bukan sahaja untuk membantu kelima-lima calon tersebut malah di semua DUN yang ditandingi BN.
“Jentera wanita bukan sahaja digerakkan untuk membantu calon-calon tersebut namun ianya termasuklah kawasan-kawasan tumpuan yang perlu diberi penekanan yang rapi bagi memastikan kemenangan secara menyeluruh dan majoriti bagi PRN Melaka kali ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.
Tambah Suhaila lagi dengan kesiapsiagaan Wanita UMNO dan BN secara holistik termasuklah mempelbagaikan kaedah kempen ianya mampu memberi nilai yang bermakna sepanjang tempoh berkempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
“Dengan mempelbagaikan inisiatif dan komitmen kita dalam mengerakkan jentera kempen melalui media sosial serta pelbagai medium yang lain, diyakini kita mampu mempertahankan BN sebagai Kerajaan pilihan rakyat, insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online