Kuasai Kempen Norma Baharu Media Sosial, Tolak Persepsi Burukkan UMNO – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata jentera parti khususnya Wanita UMNO perlu menguasai media sosial yang diaplikasi sebagai salah satu bentuk kempen dalam norma baharu khususnya dalam pilihan raya.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan bahawa penyebaran persepsi dan propaganda dalam media sosial yang meluas telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Wanita UMNO tidak boleh kata tertinggal dan tidak tahu malah ada persepsi kata wanita tidak layak jadi calon sedangkan perkara ini adalah satu perkara yang tidak relevan. Ini kerana wanita hari ini mampu melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Beliau menekankan bahawa media sosial adalah salah satu aplikasi yang dimanfaat sebagai kempen dalam norma baharu dan Wanita UMNO juga mampu melaksanakannya.

“Wanita wajib menguasai digital sosial dan kecerdasan sosial. Kita kena bantu rakyat, tolong rakyat dan kita semua tahu persepsi media sosial yang telah menyebabkan kita tewas pada PRU ke-14.

“Kita berkempen dalam norma baharu maka mahu tidak mahu kepintaran bermain dalam media sosial harus ditingkatkan. Semua perlu aktif secara konsisten.

“Saya faham bahawa ada yang segan nak aktif tapi kita boleh cabar diri kita dan lama-lama kita akan jadi lebih biasa. Ia adalah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut menegaskan bahawa setia Wanita UMNO tidak akan terhenti dan tetap teguh dalam perjuangan.

“Kini Wanita UMNO bukan lagi tulang belakang tapi adalah nadi parti untuk memastikan perjuangan terus bersemarak.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa pelancaran program Cyber Rangers Wanita UMNO Malaysia (CReW) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Program pelancaran tersebut dilaksanakan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dengan melibatkan peserta dari ketua-ketua penerangan Wanita UMNO Bahagian yang dianjurkan oleh Penerangan Wanita UMNO Malaysia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.