Golongan Muda Didekati, ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ Hanya Mampu Dicapai Melalui BN – Dira

JASIN, 10 Nov – Gerak kerja mendekati golongan muda telah dilaksanakan sejak awal lagi dalam memberi pendedahan kepada mereka agenda yang dibawa Barisan Nasional (BN), kata calon wanita muda yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Jelas beliau, bagaimanapun di peringkat kempen ianya terus dipertingkatkan berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya sebagai calon muda telah melakukan pendekatan mendekati golongan belia sebelum ini lagi namun kali ini kita akan teruskan dan pergi ke ruang-ruang yang boleh mengikut kapasiti yang dibenarkan untuk berkempen, itu yang paling penting.

“Pendekatan melalui sosial media yang merupakan saluran penting juga boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan diri saya sebagai calon di DUN Rim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Rim di Kampung Chinchin, di sini, semalam.

Sementara itu beliau yang lebih dikenali sebagai Dira turut mengulas lanjut tema PRN Melaka kali ini yang membawa konsep ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Jelas beliau, ianya merupakan hasrat murni yang dibawa parti kerana jalan terbaik untuk mencapai perkara itu adalah melalui pentadbiran di bawah BN.

“Calon yang dipilih untuk mewakili suara rakyat jadi mengikut tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ itu perlu kita selaraskan.

“Dalam konsep ini saya percaya dan yakin track record yang dimiliki BN selama ini sudah dibuktikan tidak mengecewakan.

“Walaupun ada cara dan pelbagai tohmahan tetapi dasar yang diperkenalkan oleh BN selama ini daripada 60 tahun sehingga ke saat ini dapat dinikmati dengan baik. Itulah kestabilan yang kita cari untuk kemakmuran rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit