‘ADUN Kena Jaga Rakyat Dari Dalam Perut Sampai Ke Liang Lahad’ – ‘Along’ Calon Asahan

MELAKA, 10 Nov – ‘Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kena jaga rakyat dari dalam perut sampai ke liang lahad’, itu antara prinsip yang akan dipegang calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Fairul Nizam Roslan, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Fairul Nizam, 43, atau lebih mesra dipanggil Along’ berkata wakil rakyat bukan menjaga orang tua dan muda sahaja tetapi juga kanak-kanak bersekolah rendah sehinggalah bayi di dalam perut ibunya.

“Adun ini kepimpinan yang paling rapat dan dekat dengan rakyat, itu tahap pemimpin, orang kata YB (wakil rakyat) ni kena jaga rakyat dari dalam perut sampai ke liang lahad,” katanya dalam rancangan khas menerusi Facebook UMNO Online.

Justeru kata Fairul Nizam pemimpin muda perlu diketengahkan supaya jarak umur dengan rakyat yang dijaganya tidak terlalu jauh namun pada masa sama tidak melupakan kepimpinan golongan tua kerana mereka mempunyai banyak pengalaman.

Dalam pada itu Fairul Nizam berkata nama panggilannya ‘Along’ bukan sekadar nama tetapi mempunyai makna lebih besar buat dirinya.

Katanya masyarakat Asahan khususnya boleh memanggilnya Along agar dirinya lebih dekat dengan masyarakat kawasan itu berbanding memanggilnya ‘Yang Berhormat’ (YB) jika diberi mandat sebagai wakil rakyat kelak.

“Nama Along saya dapat sejak kecil, sampai saya dah anak empat pun masih dipanggil Along, masyarakat Asahan boleh panggil saya Along, Along boleh sebagai kawan, anak, abang, mungkin Along tidak boleh jadi adik, tetapi saya boleh jadi sahabat,” jelas beliau mengenai panggilan mesra dirinya itu.

Fairul Nizam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka berkata masyarakat Asahan amat dekat di hatinya kerana kerjaya politiknya bermula pada 1997 di Alor Gajah.

Mengulas mengenai misinya, Fairul Nizam berkata beliau mementingkan pembangunan pendidikan anak-anak di DUN Asahan kerana yakin pendidikan berupaya menjadi kunci kepada kestabilan ekonomi keluarga, negeri dan negara.

Kerusi DUN Asahan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Fairul Nizam, B. Danesh (PN), Datuk Seri Idris Haron (PH) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Ab Hamid dan Mohd Akhir Ayob. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit