Unjuran Keperluan Pegawai Perubatan Tetap Dikemuka Kepada JPA, Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses menyediakan unjuran berkenaan jumlah pegawai perubatan yang perlu dilantik secara tetap.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata unjuran itu akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk meneliti pelantikan jawatan tersebut mengikut keperluan pada masa depan.

“Saya tak pasti kalau kita dapat serap semua (secara tetap) yang ada di bawah kontrak, tetapi kita mula dengan unjuran keperluan dahulu…saya pasti dengan unjuran itu, kita akan usahakan supaya dapat kita serap untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu implikasi kewangan sekiranya kerajaan melantik kesemua doktor kontrak ketika ini secara tetap, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata sejak akhir 2016, lebih 24,000 pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, namun hanya sekitar 1,000 orang ditawarkan perkhidmatan tetap dan ia adalah masalah legasi lama yang perlu diatasi segera.

Dalam pada itu, menerusi pembentangan Bajet 2022, Khairy berkata kerajaan telah bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dengan peruntukan RM336.35 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 4,186 pegawai telah dinilai dan boleh diperakukan kepada JPA untuk lantikan tetap.

Katanya, sejumlah RM377,485,089 diperlukan untuk tahun depan melibatkan permohonan 4,186 perjawatan lantikan tetap meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Selain itu, Khairy berkata kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk dimanfaatkan sejumlah 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Khas juga telah ditubuh bagi mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu lantikan kontrak dengan penelitian diadakan termasuk keperluan pindaan beberapa akta seperti Akta Perubatan dan Akta Pergigian.

Pada masa sama, KKM dan JPA juga masih meneruskan perbincangan bagi membuat pindaan kepada Akta Pencen bagi melihat kesesuaian penawaran lantikan secara tetap dan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Khairy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua hartal doktor kontrak, halangan dalam pengambilan jawatan tetap serta implikasi tambahan kewangan KKM jika kerajaan menyetujui pengambilan mereka. – BERNAMA