UMNO Bukan ‘Abang Besar’ Tak Pernah Mungkir Janji… Tapi Tangan Dihulur Tak Bersambut – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa UMNO tidak pernah memungkiri sebarang janji sebaliknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak.

Katanya, tidak timbul persoalan bahawa UMNO bersama Barisan Nasional (BN) bertanding bersendirian kerana nak tunjuk kuasa atau jadi ‘abang besar’.

“Persefahaman dalam BN dah lama dibuat, janganlah kata kita pergi ‘solo’ bahawa kita nak jadi ‘abang besar’ tetapi pembahagian kerusi dibuat dengan sebaik mungkin dan semua sudah tahu… ini bukanlah satu perkara baharu,” katanya.

Dalam hal ini, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN memaklumkan bahawa persetujuan dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas adalah jelas malah dalam beberapa siri perbincangan dan tiga mesyuarat bersama mempersetujui untuk mana-mana pilihan raya akan menggunakan lambang masing-masing.

“Kita bukannya menutup pintu tempohari, kita dah tawarkan…. Itu yang kita ulangi dan beritahu dan kita bersetuju. Dalam persetujuan kita tawar kerusi kerana kita menghargai rakan dan bukan ditinggalkan sedangkan kalau nak ikut formula pembahagian kerusi MN, pembahagian adalah parti yang mendapat lebih undi pada
PRU14 akan diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi tersebut.

“Mereka juga maklum dan kata akan guna lambang parti mereka jadi tak timbul soal UMNO yang mungkiri janji.”

Tegasnya, ramai yang tidak tahu dan tuduhan memungkiri janji adalah pada UMNO.

“Jahatnya hanya UMNO saja… ramai yang kata kita mungkir janji tapi UMNO tak mungkir janji bahkan UMNO berikan ruang untuk bersedia memberikan kerusi di PRN Melaka tetapi tangan kita yang dihulur tak bersambut… macam mana.

“Maka kita perlu buat keputusan kerana rakan kita itu mengatakan bahawa mereka tak akan gunakan lambangnya yang jelaslah menunjukkan bahawa mereka tak mahu bersama kita,” katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, UMNO juga terpaksa buat keputusan segera.

“Kita perlu putuskan bersama BN dan rakan-rakan dalam BN. Apabila mereka tidak terima maka kita perlu memikirkan dalam BN kerana dalam BN kita juga ada parti-parti yang lain juga.

“Dah jelas tawaran atau syarat kita tak diterima maka kita fahamlah, kita perlu faham bahawa itu signal yang BN perlu bersendirian dan itu bukanlah satu yang luar biasa kerana memang dari dulu BN pun memang begitu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian menerusi program Bual Bicara ‘Gegau Melaka’ yang diarkan secara langsung menerusi laman facebook dan youtube UMNO Online, yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.