Rakyat Guna Peluang Sebaiknya, Bijak Pilih Antara Kaca Dan Permata – Exco Puteri

MELAKA, 9 Nov – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Musliha Khoruddin berharap rakyat khususnya pengundi akan gunakan peluang yang ada dengan sebaiknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Jelasnya, rakyat Melaka telah bijak untuk membezakan di antara kaca dan permata selepas melalui pelbagai perkara.

“Sama ada memilih kerajaan 22 bulan yang menipu rakyat demi kemenangan PRU-14 atau parti yang mempunyai sejarah pengkhianatan ataupun memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) yang telah membangunkan dan memberikan kemakmuran kepada rakyat Melaka,” katanya menerusi kenyataan kepada UMNO-Online.

Ujarnya, PRN Melaka menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih yang majoritinya didominasikan oleh parti-parti Melayu.

“Gabungan di dalam Perikatan Nasional (PN) tidak menjadi kerana BN dan UMNO khasnya membuat keputusan di atas satu prinsip jelas iaitu bertanding secara solo.

“Pendirian UMNO itu jelas. Tidak mungkin memberikan kerjasama kepada PPBM kerana sejarah yang berlaku di PRN Sabah walaupun ‘tidur sebantal’ tapi PPBM terus berusaha untuk ‘membeli’ ahli parlimen UMNO meski pun di dalam satu gabungan.

“Kehidupan ini menjadi sukar sekiranya kita berdepan dengan ‘musuh dalam selimut’ dan ‘gunting dalam lipatan’.”

Tegasnya lagi, dari sudut akademik, teori tidak menggambarkan kenyataan sebenar apabila berada di lapangan dan beliau yakin bahawa rakyat akan memilih berdasarkan kepada penilaian yang ada.

Terdahulu, SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada Datuk Seri Idris Haron , Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit