Ismail Sabri Tiba Di Jakarta Untuk Lawatan Rasmi Ke Indonesia

JAKARTA, 9 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Jakarta pada Selasa untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia atas undangan Presiden Joko Widodo.

Ismail Sabri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini kira-kira 10.10 pagi, diiringi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kedua-duanya memakai baju batik Malaysia yang akan menjadi pakaian rasmi semasa lawatan itu.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Nadiem Anwar Makarim dan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah yang tiba lebih awal.

Turut hadir Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq dan Pengarah Kementerian Luar Indonesia untuk Protokol, Irvan Bukhari.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia akan menginap di sebuah hotel di Jakarta.

Ini adalah lawatan sulung Ismail Sabri ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Antara atur cara lawatan Perdana Menteri termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan komuniti perniagaan Indonesia, Ketua-ketua Pengarang (Editor) media Indonesia dan diaspora Malaysia.

Perdana Menteri juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara dan melawat kemudahan industri pertahanan di Bandung.

Lawatan itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kedua-dua negara.- BERNAMA