Dira Ada Kredibiliti, Mampu Sambung Legasi Perjuangan Bela Rakyat – Bekas ADUN Rim

JASIN, 9 Nov – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad optimis Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira mampu untuk meneruskan agenda membela rakyat sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 Nov ini.

Ghazale, pemegang kerusi berkenaan selama dua penggal sebelum ini turut memberi komitmen akan membantu Dira meneruskan perjuangan yang sebelum ini dibawa olehnya dan pemimpin terdahulu.

“Saya mengalu-alukan pencalonan Dira untuk bertanding pada PRN kali ini… harapan saya seperti yang diingatkan kepada dia yang saya yakin dengan kemampuan, ketokohan yang telah ditunjukkan sebelum ini.

“Dira mampu menggalas kerja-kerja yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini termasuk saya yang pernah menerajui DUN ini.

“Saya yakin dan mengambil prinsip sementara kami ada ini kami boleh berikan pandangan dan tunjuk ajar dalam melengkapkan kepimpinan muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Rim di Kampung Chinchin.

Sementara itu, beliau yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN tersebut berkata keputusan kepimpinan tertinggi parti yang memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk menjadi calon pada PRN kali ini adalah suatu perkara yang perlu disambut baik.

Katanya pemilihan calon muda ini juga adalah realitik kerana mereka ini adalah berlatar belakangkan golongan profesional.

“Suara anak-anak muda pengundi mengatakan sudah tiba masanya kita mendidik dan membina barisan pelapis-pelapis muda bagi mewarisi kepimpinan kita di masa kini dan akan datang.

“Hari ini UMNO mengambil keputusan yang bijak dengan kemukakan barisan calon-calon muda yang kita ketengahkan untuk dipilih oleh pengundi dalam PRN ini nanti.

“Saya yakin apa yang dibuat oleh UMNO Malaysia ini akan mendapat sambutan daripada pengundi dan memenuhi cita rasa mereka yang hendakkan orang muda, berpendidikan. Semua ini ada pada calon-calon yang kita ketengahkan,” ujar beliau. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit