SST Projek Pembinaan Jalan Di Jajaran Ulu Skrang Dikeluarkan Disember

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Surat Setuju Terima (SST) untuk projek pembinaan jalan di sepanjang jajaran Ulu Skrang, Sarawak dijangka dikeluarkan Disember tahun ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata projek diluluskan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu dengan kos RM28.5 juta kini dalam peringkat perolehan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jugah Anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) mengenai status pembinaan jalan di kawasan itu dan juga di Ulu Batang Ai.

Mengenai pembinaan jalan sepanjang jajaran di Ulu Batang Ai, Mahdzir berkata projek diluluskan dalam Rolling Plan Keempat RMK11 dengan kos RM187.5 juta itu kini dalam proses lantikan perunding juru ukur, jurutera awam dan struktur serta perunding alam sekitar.

Menjawab soalan tambahan Jugah yang ingin tahu status pembinaan jalan di Jalan Lidong, Sri Aman, beliau berkata projek diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat RMK11 itu dengan kos RM63 juta melibatkan pembinaan jalan sepanjang 10.5 kilometer.

“Status semasa, sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Februari 2022,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.