PRN Melaka: Kempen Secara Fizikal, Ceramah, Syarahan Tidak Dibenarkan

MELAKA, 8 Nov – Penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Dalam sidang media selepas proses penamaan calon hari ini beliau meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi PRN Melaka yang disenaraikan dalam portal SPR, dan menurutnya semua SOP itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Beliau berkata antara yang turut dilarang semasa PRN Melaka adalah kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka.

Sementara itu berdasarkan kenyataan beliau di portal berkenaan, SOP itu menetapkan bahawa calon dan atau jentera pilihan raya dibenarkan untuk memasang ‘banner’ dan ‘gegantung’ di dalam kawasan pilihan raya, mengedar risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Bagaimanapun menurutnya bagi aktiviti pengedaran risalah, jumlahnya mereka yang dibenarkan terlibat dihadkan tidak lebih dari tiga orang, dan bagi tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Wechat, Snapchat, Whatsapp, Telegram dan lain-lain aplikasi sebagai alat untuk menyampaikan kempen.

Selain itu kempen menggunakan rangkaian televisyen, akhbar tempatan juga digalakkan untuk digunakan dan calon perlu memanfaatkan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu yang perlu diamalkan berikutan pandemik COVID-19.

“Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa berkempen dan sebarang bentuk kempen melalui media massa pada hari mengundi adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan yang dipaparkan di portal berkenaan.

Beliau berkata hanya calon yang mendapat permit daripada polis dibenarkan berkempen menerusi kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu dan lokasi yang ditetapkan dalam permit dan tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

Menurutnya hanya satu bilik jawatankuasa (bilik gerakan parti) dibenarkan beroperasi untuk setiap calon bagi satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tempoh berkempen dengan had kapasiti adalah 50 peratus daripada kapasiti ruang dan penjarakan fizikal manakala operasi bilik gerakan kecil tidak dibenarkan.

Selain itu semua yang terlibat juga dikehendaki menjalani ujian RTK Ag kendiri setiap dua hari sepanjang kempen pilihan raya berlangsung, dengan kos ditanggung sendiri dan setiap keputusan ujian perlu dimuat naik ke dalam aplikasi MySejahtera.

Abdul Ghani berkata hanya yang mereka dengan keputusan negatif dibenarkan terlibat dalam aktiviti sepanjang kempen pilihan raya manakala individu dengan keputusan positif, tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti kempen pilihan raya dan mengikuti garis panduan sedia ada.

Selain itu katanya mesyuarat parti boleh diadakan dengan had dua jam serta kekerapan tidak melebihi empat kali seminggu dengan dihadiri individu lengkap divaksin dan tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan penjarakan fizikal.

“Mesyuarat parti juga bermaksud aktiviti mesyuarat dengan susun atur tempat untuk bermesyuarat dan bukannya untuk sesi taklimat atau ceramah atau apa juga bentuk kempen fizikal yang dilarang,” katanya.

Abdul Ghani berkata sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan kehadiran individu yang hadir semasa mesyuarat sahaja dan juga wartawan, yang telah lengkap divaksin.

Bagi hari mengundi awal dan hari mengundi, menurutnya ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi dan cadangan masa yang digalakkan bagi setiap pengundi untuk keluar mengundi dinyatakan apabila pengundi membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR.

“Ini bagi mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa. Peringkat waktu yang digalakkan adalah pada pukul 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang,” katanya.

Bagi pengundi yang bergejala seperti batuk, sakit tekak atau sukar bernafas atau suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius, Abdul Ghani berkata mereka hendaklah diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Pengundi (bergejala) wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan getah pakai buang sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi dan petugas yang terlibat mengendalikan individu bergejala juga hendaklah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan serta memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

Bagi pengundi yang positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan keluar dari tempat mereka sedang menerima rawatan seperti hospital, pusat kuarantin dan rumah kerana boleh membawa jangkitan kepada awam manakala pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari pegawai kesihatan daerah.

Selain itu, pengundi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu menjalani ujian RTK Ag dalam masa 24 jam sebelum tarikh mengundi dan hanya pengundi yang negatif dan mendapat kebenaran polis dibenarkan untuk keluar mengundi.

Bagi pusat penjumlahan rasmi undi, hanya lima orang penyokong bagi calon yang menang (keputusan tidak rasmi) dan tiga orang penyokong calon lain yang bertanding dibenarkan hadir, dan kebenaran untuk masuk ke pusat penjumlahan undi akan dimaklumkan, dan pas masuk diedarkan oleh Pegawai Pengurus sebelum pengumuman keputusan pilihan raya dibuat.

“Sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon adalah tidak dibenarkan,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit