Selesaikan Infrastruktur Asas Untuk Sabah Berkembang Pesat – Bung Moktar

KINABATANGAN, 6 Nov – Masalah infrastruktur melibatkan jaringan jalan raya, bekalan elektrik serta air di Sabah perlu diselesaikan, sebelum Sabah dapat dibangunkan secara pesat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata untuk itu, satu program jangka panjang diperlukan bagi mengurus pembangunan infrastruktur berkenaan.

“Ketika ini masih ada kawasan tiada jalan raya, bekalan air dan letrik, dan orang kampung sudah mula bangkit masalah mereka ini, dan kementerian saya bertanggungjawab dalam hal ini, kalau saya ada lampu Aladin, saya akan gilap lampu itu untuk menyelesaikan apa jua kesukaran rakyat.

“Ada kawasan saya lawat misalnya di Pitas, 60 kampung tiada paip air dan banyak lagi kampung yang hadapi masalah sama, jadi saya mohon Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) beri perhatian kepada masalah rakyat di Sabah,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur di sini hari ini.

Pelancaran itu yang berlangsung di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, turut memohon Perdana Menteri mempertimbangkan penggunaan mekanisme Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), agar projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dapat direalisasikan dalam tempoh jangka masa lebih pendek.

“Kementerian Kerja Raya Sabah kemuka kepada kerajaan pusat supaya pelaksanaan projek PFI supaya projek Lebuh Raya Pan Borneo berjalan lancar, kalau tidak akan ambil masa 40 tahun untuk siap projek Fasa Satu ini,” katanya dan menambah projek itu membawa impak positif kepada rakyat.

Sementara itu, katanya kerajaan Sabah tekad mengeluarkan Sabah dari ‘jenama’ sebagai negeri termiskin di Malaysia, dalam tempoh lima tahun ini.

“Selama 58 tahun negeri itu merdeka bersama Malaysia, namun sehingga kini kadar kemiskinan Sabah masih tertinggi dan besar hasrat kerajaan untuk meninggalkan kategori itu,” katanya. – BERNAMA