Perjawatan Baharu Pendidik Masyarakat Kemas Perlu Miliki Ijazah

BANGI, 5 Nov – Perjawatan baharu bagi pendidik masyarakat tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada masa depan perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata ia bertujuan meningkatkan profesionalisme warga pendidik masyarakat dan menjamin kualiti pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan peredaran masa serta kepesatan teknologi.

“Sudah sampai masanya pendidik masyarakat Kemas perlu ada ijazah sarjana muda. Ini bagi meningkatkan profesion mereka ke suatu tahap baharu pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) 2021 di sini hari ini.

“Kemenjadian kanak-kanak bergantung kepada bagaimana pendidik masyarakat menguruskan mereka dalam kelas kerana proses pembelajaran kanak-kanak ini lebih berat dan payah berbanding murid sekolah rendah,” tambahnya.

Menurut Mahdzir, perjawatan baharu bagi profesion itu sekarang memerlukan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebelum diwajibkan mengikuti kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak selama tiga bulan bagi membolehkan mereka mendapat sijil sebagai pendidik masyarakat.

Mahdzir berkata pendidikan awal kanak-kanak perlu seiring dengan kualiti sistem pendidikan yang disediakan dengan meningkatkan kecekapan, keberkesanan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan yang disediakan kepada kanak-kanak.

“Bagi menjadi sebuah tabika yang berkualiti, institusi itu mesti menyediakan perkhidmatan pendidikan yang cemerlang sekali gus dapat meningkatkan perkembangan holistik kanak-kanak,” katanya.

Mengulas pengiktirafan terhadap tabika Kemas sebagai ‘Trusted Brand for Pre-School Learning Center’ dan anugerah emas oleh Reader’s Digest Asia bagi tahun 2020, Mahdzir berkata ia membuktikan keyakinan masyarakat terhadap tabika Kemas setanding tabika swasta dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan awal kepada kanak-kanak di negara ini.

“Pengiktirafan ini membantu tabika Kemas untuk meningkatkan imej dalam kalangan masyarakat khususnya di luar bandar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.