Pahang Lulus Inisiatif Sempadan Hijau Negeri – MB

KUANTAN, 5 Nov – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri melibatkan sempadan negeri jiran iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu dibuat ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Rabu lepas, sebagai menjunjung titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Susulan itu, kerajaan negeri akan mewartakan Tanah Kerajaan yang telah dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang kira-kira 26.806 kilometer dan berkeluasan 557.585 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Pewartaan ini menurut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Perwartaan HSK terbaharu ini merupakan tambahan kepada HSK sedia ada, yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi pewartaan ini, katanya kerajaan negeri akan menolak ringkas semua permohonan Tanah Kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-Kaedah Tanah Pahang 1992.

Bagi Tanah Milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga menetapkan Bahagian Kerajaan Tempatan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyelaraskan syarat-syarat khas dengan pihak-pihak berkuasa tempatan berkaitan, mengenai perkara yang diputuskan itu.

“Dengan satu lagi keputusan ‘mesra alam’ oleh kerajaan negeri ini diharapkan kawasan sempadan Pahang dengan negeri terlibat akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.