Lima Negeri Beralih Ke Fasa Empat PPN Isnin Depan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 8 Nov ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi kelima-lima negeri selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” menurutnya dalam kenyataan mengenai peralihan fasa PPN dan kelonggaran SOP.

Hishammuddin berkata anak-anak kapal di bawah pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin semasa persinggahan di Pelabuhan Klang tertakluk kepada kelulusan KKM, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen.

Katanya urusan penerimaan suntikan vaksin wajar dilaksanakan di atas kapal bagi mengelak pergerakan berskala besar anak-anak kapal ke klinik atau fasiliti perubatan.

Beliau berkata Lembaga Pelabuhan Klang telah diminta mengemukakan keperluan maklumat lanjut seperti penganjur, bilangan anak kapal yang terlibat dan hal lain yang berkaitan bagi program vaksinasi untuk anak-anak kapal di Pelabuhan Klang.

Hishammuddin berkata berkuat kuasa 8 Nov ini juga, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan syarat ini dimasukkan dalam SOP.

Katanya kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang belum/tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan ketika ini, aktiviti makan serta minum di dalam stadium juga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini turut meluluskan pelaksanaan peralihan pengurusan Stesen Kuarantin Hotel kepada Stesen Kuarantin Swasta bermula tujuh hari selepas kelulusan.

Menurut Hishammuddin, pengurusan stesen kuarantin adalah berdasarkan Garis Panduan Pembukaan, Pengoperasian dan Pemantauan Stesen Kuarantin Swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kutipan kos operasi COVID-19 berjumlah RM2,600 bagi setiap pengembara bukan warganegara dimansuhkan manakala caj bagi stesen kuarantin masih berkuat kuasa dan caj yang dikenakan stesen kuarantin swasta adalah pada kadar yang sama (pakej standard) seperti sebelum ini yang berkuat kuasa pada 15 Nov 2021,” katanya.

Beliau berkata kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan caj kuarantin ditanggung oleh kerajaan dan ujian ulangan saringan pengesanan COVID19 diselaraskan oleh KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri/Daerah yang berkaitan.

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran yang diberikan dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Katanya paling penting dalam membantu usaha kerajaan #ReopeningSafely, semua pihak amat digalakkan untuk mengamalkan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera dengan sebaik mungkin demi keselamatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.