DUN Sarawak Bubar, Beri Laluan Pilihan Raya Negeri – Abang Johari

KUCHING, 5 Nov – Dewan Undangan Negeri Sarawak telah terbubar berkuat kuasa 3 Nov, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembubaran itu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama.

“Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (berhubung pembubaran DUN Sarawak).

“Situasi sangat unik apabila Agong menamatkan darurat, secara automatik (DUN) terbubar. Bagaimanapun mengikut prosedur, kami akan meminta Speaker memaklumkan SPR,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan pada Februari 2022 selepas berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara dan ketua agensi kerajaan yang berkaitan.

Abang Johari berkata sekiranya Proklamasi Darurat itu tidak diisytiharkan, DUN terbubar pada 7 Jun lepas mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya tidak lagi mempunyai mandat rakyat yang diberikan pada 2016, untuk memerintah.

“Berpegang kepada sumpah kami untuk memelihara dan melindungi Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan dan menjaga hak rakyat untuk memilih kerajaan sendiri, kerajaan GPS merasakan adalah suatu pengkhianatan kepada sumpah itu jika kerajaan GPS terus berkuasa di sebalik alasan darurat sedangkan mandat rakyat untuk mentadbir telah tamat,” katanya
Beliau berkata atas sebab itu kerajaan negeri telah berunding dan menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud supaya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar menamatkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 2 Ogos lepas, lebih awal.

Abang Johari berkata menyedari kesihatan dan keselamatan rakyat Sarawak adalah perkara paling utama, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan yang teliti dan berterusan dengan pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkepentingan lain agar pilihan raya diadakan dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan.

“Kadar vaksinasi COVID-19 di negeri ini juga telah mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa agar pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Feb 2022 susulan ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan. – BERNAMA