Anak Muda Sudah Tahu Rupa Sebenar PH Selepas Tertipu Pada PRU-14 – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Golongan muda merasakan tertipu dengan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memberikan pelbagai janji dan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) suatu ketika dahulu.

Menurut Presiden Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa), Ahmad Al Mubarak, beliau menilai sendiri kekesalan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan yang pernah menyatakan sokongan kepada PH untuk mentadbir negara.

“Macam mana PH boleh menang pada PRU-14… sebab mereka janjikan harapan, perubahan tapi hakikat hujungnya tidak terjadi.

“Anak muda sudah faham, sudah tentu rasa ditipu. Saya ada menyertai siri pilihan raya kecil termasuk dalam kampus pun ada kawan-kawan yang sebelum ini menyokong PH menyatakan kekecewaan.

“Apabila mereka sudah bersama dengan PH baru dia faham bagaimana rupa sebenar PH itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Gegau Melaka: Undi Anak Muda Penentu Kemenangan yang disiarkan siaran langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Ahmad, pentadbiran PH selama 22 bulan itu memberikan suatu signifikannya yang tersendiri apabila rakyat khususnya golongan muda telah melihat kegagalan yang dilakukan oleh PH.

“Hakikatnya pada saya ianya memberikan satu pengajaran apa yang berlaku pada PRU14 itu kerana hari ini rakyat dah rasa perbezaan di antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

“Bagi saya rakyat dah rasa faham dan mula menilai mana kerajaan yang mereka rasakan terbaik bagi diri sendiri dan generasi yang akan datang,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, bahkan kemenangan PH lalu bukanlah disebabkan perjuangan yang dilakukan untuk rakyat tetapi ianya berlandaskan kepada agenda untuk menjatuhkan tokoh-tokoh politik yang berada dalam Barisan Nasional (BN).

“Pada waktu dan ketika itu antara faktor yang menyebabkan BN kalah bukan soal janji semata tapi pada waktu pelbagai tohmahan dan fitnah sebagainya yang dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.