UMNO Melaka Optimis Kekal Menang di DUN Sungai Udang Dan Pantai Kundur

TANGGA BATU, 4 Nov – UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad optimis untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Pantai Kundur pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, ini kerana dua bekas ADUN tersebut ,Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang telah digugurkan keahlian dalam UMNO sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada sokongan ahli akar umbi kepada parti.

“Di peringkat jentera PRU BN di Parlimen Tangga Batu merangkumi empat DUN ini kita memang sudah siap siaga dua tahun yang lepas.

“Kita tidak ada masalah untuk kekalkan dua kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu di Sungai Udang dan Pantai Kundur kerana kita telah menggerakkan segala jentera kita.

“Di atas keyakinan itu juga kita yakin kita boleh mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut kerana mereka yang keluar daripada UMNO sehingga hari ini kita tengok tidak ada pengikut ataupun ahli-ahli parti UMNO yang keluar parti mengikuti jejak langkah kedua-dua wakil rakyat yang melompat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata di DUN Klebang dan Paya Rumput, pihaknya secara konsisten melakukan khidmat bakti kepada rakyat di sana.

Menurut Mohamad Ali, reaksi yang ditunjukkan penduduk di sana juga sangat memberangsangkan malah beliau yakin untuk BN merampas kembali kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kita telah menggerakkan jentera lebih awal… banyak program kebajikan yang dilakukan dan apabila mereka melihat kehadiran kita pada setiap program kebajikan, ziarah kasih ternyata mendapat sambutan ini amat jelas.

“Kita yakin atas keadaan PRU14 memberi kelebihan untuk merampas semula kedua-dua kerusi iaitu DUN Klebang dan Paya Rumput.

“Jadi maknanya pilihan raya sekarang ini memang masa kita tunggu sebab kita sudah bersedia lebih awal dan akhirnya berlaku PRN Melaka,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.